Sumber Artikel : http://zainurrashid.com/?p=350
Kenapa Constantinople begitu istimewa?

Constantinople atau kini dikenali sebagai Istanbul adalah merupakan
salah sebuah bandar yang istimewa dan sangat bersejarah di dunia. Ianya
telah diasakan oleh Maharaja Rom yang bergelar Emperor Constantine pada
tahun 330M.
Constantinople
begitu sangat strategik dari sudut ketenteraan, perniagaan, perhubungan
dan politik pemerintahan antarabngsa sehinggakan Napoleon Bonaparte
(Panglima dan Pemimpin Perancis 1769-1821) mengatakan bahawa kalaulah
dunia ini sebuah negara , maka Constantinople adalah Bandar yang paling
layak menjadi ibu kotanya - “If the Earth were a single state,
Constantinople would be its capital.”
Di
dalam sejarah Islam, keistimewaan Constantinople telah pun diumumkan
oleh Rasulullah s.a.w sendiri ketika baginda menggali Parit Khandaq
- لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير ذلك الأمير
و لنعم الجيش ذلك الجيش
“
Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam.
Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik
tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Bagaimana sikap pemimpin umat Islam terdahulu terhadap sabdaan Rasulullah s.a.w?
Para sahabat dan pemimpin umat Islam selepasnya begitu berlumba-lumba
di dalam usaha untuk membebaskan Constantinople bagi mendapatkan
penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt sebagaimana di dalam Hadis
tersebut. Daripada catatan sejarah mendapati bahawa tidak kurang
daripada 8 kempen yang besar daripada keseluruhan 29 kempen yang telah
dilancarkan tetapi kesemua kempen-kempen tersebut menemui kegagalan. Di
antaranya ialah sebanyak 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen
di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 lagi kempen yang besar di zaman
Kerajaan Uthmaniyyah.
(Foto Masjid Abu Ayyub al-Ansary di Turki)
Usaha yang pertama telah dilancarkan di zaman Kerajaan Umayyah pada
tahun 44H, apabila seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al
Ansary r.a telah syahid dan beliau telah dimakamkan di bawah dinding
kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya
kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka Abu Ayyub al Ansari
menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda milik
sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka
membebaskan Constantinople”. Begitulah hebatnya keyakinan seorang
sahabat besar Nabi s.a.w.
Di zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyyah pula, beberapa kempen
pembebesan telah diusahakan termasuk di zaman Khalifah Harus ar Rashid
pada tahun 190H tetapi turut menemui kegagalan.
Hadith Nabi s.a.w ini kemudiannya hanya menjadi kenyataan setelah
hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fateh, Khalifah
yang ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah bersama seramai kira-kira 265,000 orang
tenteranya.
Siapakah Muhammad al Fateh?
Nama
sebenar Baginda ialah Muhammad bin Murad Bin Muhammad Bin Bayazid.
Baginda telah dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi (833H) di Adrianapolis
(sebuah bandar bersempadankan Turki – Bulgaria).
Baginda dikenali dengan gelaran ‘
Muhammad Al Fateh’ kerana kejayaannya membebaskan kota Constantinople.
Baginda telah menaiki takhta seawal berusia 19 tahun lagi apabila
menggantikan ayahandanya Sultan Murad II. Baginda telah memerintah
empayar yang begitu luas selama kira-kira 30 tahundi antara tahun
1451–1481M. Baginda merupakan seorang negarawan yang ulung dan seorang
panglima tentera agung yang telah memimpin sebanyak 25 kempen
peperangan. Baginda telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 (855H) ketika
berumur 49 tahun.
Bagaimanakah kehebatan pendidikan Baginda?
Kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh banyak dibuktikan pada ketinggian
keperibadian dan kesungguhan Baginda di dalam menjalani hidupnya.
Semenjak kecil ayahandanya, Sultan Murad II telah membawa para ulama
yang berwibawa untuk mendidik Muhammad all-Fateh secara intensif dan
bersepadu.
Sheikh Muhammad Bin Ismail al Kurany telah diamanahkan untuk
mengetuai barisan pendidik kepada Muhammad al-Fateh. Beliau telah
diberikan autoriti untuk memukul Muhammad sekiranya diperlukan. Bahkan
beliau pernah diberikan hadiah penghargaan oleh Sultan Murad II kerana
beliau telah memukul Muhamamad al-Fateh dalam rangka untuk mendidiknya
secara serius. Ini dibuktikan sehingga Muhammad al-Fateh dapat menghafal
al Quran dalam tempoh yang pendek.
Guru sebenar yang membimbing Baginda secara bersepadu ialah Sheikh
Shamsuddin al Wali yang merupakan seorang ulama yang hebat daripada
keturunan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a.
Muhammad al-Fateh telah diyakinkan semenjak kecil oleh Sheikh
Shamsuddin bahawa Baginda adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah
s.a.w di dalam hadith pembukaan Costantinople berkenaan.
Beliau
mengajar Muhammad al-Fateh ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur’an, Hadith,
Feqah serta ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah,
tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda.
Di dalam bidang bahasa pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung
di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab,
Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.
Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan
Murad II telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun sebagai
pemangku Khalifah dengan tujuan mendidiknya, semasa Sultan Murad II
pergi bersuluk ke Pulau Magnesia. Dalam usia semuda ini Baginda telah
mulai matang untuk menangani tipu helah musuh.
Apabila Baginda menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemui Syeikh
Shamsuddin bagi menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople
demi merealisasikan hadith Rasulullah s.a.w berkenaan.
Bagaimanakah hasil pendidikan ini terhadap Muhammad al-Fateh?
Baginda seorang yang sentiasa berani, tegas, kuat menyimpan rahsia
pemerintahan di samping bersikap tenang dan pendiam. Baginda sangat
mencintai para ulama dan selalu berbincang dengan mereka tentang
permasalahan negara
(Kubu Rumeli Hisari yang dibina oleh al-Fateh bersama tenteranya)
Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri. Semasa membina
Kubu Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, Baginda
mengangkat batu dan pasir hingga para ulama dan menteri-menteri pun
terpaksa ikut sama bekerja.
Muhammad Al-Fateh sangat menyayangi Sheikh Shamsuddin dan Sheikh
mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih.
Ini jelas dibuktikan ketika di dalam ucapan Baginda semasa pembukaan
Constantinople, “Sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali.
Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota
ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya Sheikhku yang mulia yang
merupakan pendidikku, Asy-Sheikh Shamsuddin al Wali”
Bagaimanakah persiapan awal peperangan dipersiapkan?
Semenjak kecil, Muhammad al-Fateh telah meninjau dan mengkaji usaha
yang dibuat oleh ayahnya untuk menawan kota Constantinople. Juga
sepanjang 2 tahun pertama selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji
pelan Kota Costantinople secara terperinci setiap malam bagi mengenal
pasti sebarang faktor-faktor kelemahan Constantinople di samping
mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen panglima Islam yang
terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang
tentang strategi-strategi terkini yang sesuai untuk digunakan.
Baginda
telah membuat satu persiapan yang besar ke arah cita-citanya yang
menggunung bagi menawan Constantinope. Baginda telah menyediakan
angkatan tentera yang besar dan canggih dengan para mujahidin seramai
kira-kira 265,000 orang dan kapal laut sebanyak 400 buah untuk tujuan
ini.
Baginda juga
telah mengarahkan pembinaaan peralatan perang termoden seperti meriam
gergasi yang boleh menembak bom seberat 300 kg dengan jarak sejauh 1.5
kilometer.
Kota Rumeli Hisari telah dibina di tebing sebelah Eropah, lebih
kurang 8 km dari Kota Constantinople. Ia dibina bertentangan dengan Kota
Anadolu Hisari di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan
Bayazid Yildirim yang terdahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal
yang melintasi Selat Bosphorus. Baginda juga telah mengikat perjanjian
damai dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan
Constantinople apabila mereka diserang nanti.
Baginda
membawa bersama batalionnya para ulama dan pakar motivasi ke medan
perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja mereka
menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan agar
azan dilaungkan dan solat berjemaah disempurnakan. Tentera Byzantine
begitu gementar melihat kira-kira 265,000 orang tentera Islam bersolat
di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir yang memecah
kesunyian alam.
Bagaimanakah serangan ke atas Constantinople dilancarkan?
Dari
suduk geografinya, Kota Costantinople mempunyai keistimewaannya yang
tersendiri kerana ianya dikelilingi oleh lautan dari tiga penjuru iaitu
Laut Marmara, Selat Bhosphore dan Teluk Golden Horn. Kemasukan ke
perairan Teluk Goldern Horn telah dihalang dengan adanya rantai besi
raksasa. yang berfungsi menghalang kapal daripada masuk ke pintu utama
Kota Costantinople.
Setelah segala persiapan diatur, akhirnya Sultan Muhammad al-Fateh
telah menghantar utusan supaya Maharaja Byzantine menyerahkan kota
Constantinople kepadanya tetapi beliau enggan berbuat demikian. Kota
Costantinople telah dikepung dan mula diserang pada hari Rabu 19 April
1453M bersamaan 12 Rabiul Akhir 857H bersama angkatan tenteranya yang
menjangkau seramai 265,000 orang,
Kota tersebut telah dihujani oleh peluru daripada meriam rasaksa
selama 48 hari namun hanya merosakkan sebahagian dinding luar kota
tersebut.
Menara Bergerak
Baginda kemudiannya memerintahkan tenteranya menggunakan menara
bergerak yang mempunyai ketinggian lebih tinggi daripada Kota
Constantinple serta boleh memuatkan ratusan Islam. Namun tentera
Byzantine Berjaya memusnahkan menara bergerak tersebut setelah ianya
Berjaya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan dari Vatican.
Tentera
laut Byzantine turut diperkukuhkan oleh bantuan yang dihantar oleh
Vatican dan eropah dengan sebanyak 5 buah armada. Apatah lagi tentera
Islam gagal untuk merentasi perairan Teluk Goldern Horn disebabkan
rantai besi gergasi yang menghalang kemasukan kapal laut mereka. Ini
menaikkan semula semangat tentera Vatican. Para paderi pula mengingatkan
penduduk Constantinope supaya banyak berdoa agar Constantinople
selamat.
Maharaja byzantine cuba memperdaya Muhammad al-Fateh dengan pelbagai
tawaran, hadiah dan rasuah bagi menyelamatnya kedudukannya tetapi
ditolak dengan tegas oleh Baginda supaya Constantinople diserahkan
secara aman kepada mereka.
Bagaimanakah Constantinople ditawan?
a-Membawa kapal melalui gunung
Ketenangan
dan kegembiraan Maharaja dan penduduk Constantinople tidak berpanjangan
apabila mereka mendapati kehadiran sebanyak 72 kapal perang Muhammad
al-Fateh telah sampai ke perairan Teluk Golden Horn pada 22hb April
1453M. Sultan Muhammad menggunakan satu kaedah yang luar biasa apabila
Baginda dan tenteranya telah membawa kapal-kapal ini melalui jalan darat
di atas gunung sebelum meluncurkannya semula ke Teluk Goldern Horn.
Ini adalah satu keajaiban dan dianggap sebagai tektik peperangan yang
terbaik di dunia oleh sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal Byzantine
kemudiannya habis terbakar kerana dibedil oleh meriam tentera Islam dan
sistem pertahanan Byzantine menjadi semakin lemah.
b-Suntikan semangat jihad
Baginda yang turut dibantu oleh para ulama telah mengambi kesempatan
pada sebelah malamnya untuk memberikan semangat jihad kepada tenteranya
di samping mengingatkan kepada mereka tentang hadith Rasulullah s.a.w
dan mereka kemudiannya sama-sama bermunajat kepada Allah s.w.t.
c-Memanjat kota
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah telah cuba memanjat dinding di
dalam kubu dengan menggunakan tangga dan cuba merobohkannya dengan
lastik yang besar. Mereka kemudiannya telah memacak bendera Daulah
Uthmaniyyah di puncak kota. Tentangan sengit dari pihak Byzantine telah
mengakibatkan ramai tentera Islam menjadi syudaha’. Muhammad al-Fateh
kemudiannya memerintahkan agar tenteranya berundur dan bedilan meriam
diteruskan sehingga tengahari.
d-Karisma Pemimpin
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda akan
berakhirnya dengan kejayaan telah menimbulkan rasa jemu dan
menghilangkan keyakinan di kalangan sebahagian tentera Islam. Melihatkan
keadaan yang genting tersebut maka Baginda berpidato bagi menaikkan
semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan
Allah. Sesiapa yang mahu syahid marilah ikut aku!”.
Mendengarkan pidato tersebut maka salah seorang tentera Baginda yang
bernama Hasan Ulubate telah bangkit dan mengetuai sekumpulan kecil 30
orang tentera yang telah membuka dan kemudiannya melompat masuk ke dalam
kubu musuh. Mereka lantas memacak bendera Islam di situ. Ini telah
menaikan lagi semangat tentera Islam dan mengetarkan pihak musuh. Mereka
kesemuanya kemudiannya gugur syahid setelah dihujani oleh anak panah
musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi
barisan pertahanan Byzantine sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Laungan takbir yang telah mengisi ruang angkasa Constantinople telah
memberikan kesan serangan psikologi kepada pihak musuh.
e-Terowong
Ketika kekalutan di Kota Constantinople belum pun reda, pihak musuh
telah mendapat bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk
memasuki kota tersebut. Ketakutan menimpa mereka dengan rasa gerun dan
takut yang teramat sangat.
Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Baginda bersama tenteranya yang hebat berjaya
menawan Constantinople ke tangan Islam. Baginda telah membuktikan
kebenaran hadith Rasulullah s.a.w. Constantinople telah ditukar namanya
kepada Islambol (Islam keseluruhan) yang telah dijadikan sebagai ibu
negara Khilafah Uthmaniyyah.
Gereja
Besar St Sophies kemudiannya telah ditukar menjadi Masjid Aya Sophia.
Dengan tawadhunya Baginda melumurkan tanah ke dahinya dengan melakukan
syujud syukur sebaik sahaja kejayaan tersebut diraih bersama tenteranya.
Nama Islambol kemudiannya telah ditukar kepada Istanbul.
Kenapa beliau dikatakan sebagai sebaik-baik raja?
Ketika solat Jumaat hendak didirikan buat pertama kalinya, timbul
pertanyaan di kalangan baginda tentang siapakah yang paling layak
menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya
bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita yang pernah meninggalkan
solat fardhunya sejak baligh hingga sekarang walaupun sekali, sila
duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di
antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapakah di antara kita yang sejak baligh
hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Maka
sebahagian daripada tenteranya pun duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita sejak baligh
hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu
malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad
Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat
sunat Rawatib dan solat Tahajjud sejak baligh .
Inilah
dia anak didikan Syeikh Shamsuddin al Wali. Bagindalah orangnya yang
telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai sebaik-baik raja yang
memimpin sebaik-baik tentera di dalam hadithnya itu.
Adakah kemenangan itu adalah disebabkan oleh kelemahan Byzantine?
Sesungguhnya kemenangan tersebut Berjaya dilakukan bukanlah kerana
kelemahan Byzantine atau Constantinople tetapi adalah kerana
pergantungan tentera Islam terhadap Allah, berpegang kepada taliNya yang
teguh dan kemajuan serta kemodenan ketenteraan Daulah Uthmaniyyah
ketika itu.
Seorang ahli sejarah Perancis, Baron Karaffoo telah menyifatkan itu
dengan menyatakan, ”Pembukaan Constantinople tidaklah berlaku kepada
Sultan al-Fateh secara kebetulan dan juga bukan kerana Kerajaan
Byzantine berada di dalam keadaan lemah, tetapi ia adalah kerana Sultan
al-Fateh menggunakan segala kekuatan ilmu yang ada di zamannya.”
Apakah sumbangan utama lain Muhammad a Fateh?
Para ahli sejarah telah menjadikan tarikh pembukaan Constantinople
pada 29hb Mei 1453M sebagai arikh kepada sejarah moden. Ketika memasuki
Bandar tersebu, Sultan Mummad al-Fateh telah mengistiharkan bahawa dunia
kuno telah terhapus dan dunia moden telah datang.
1- Keadilan beragama
Ramai orang Yahudi dan Arab yang ditindas di Sepanyol telah berpindah
ke Constantinople. Sultan al-Fateh juga telah membenarkan agama
Kristian untuk diamalkan dengan mengekalkan gereja dan pengamalan mazhab
Orthodoks mereka. Baginda telah meminta pihak gereja berhimpun dan
memilih seorang ketua paderi di kalangan mereka. Mereka telah memilih
anadius sebagai ketua yang kemudiannya berkata bahawa dia lebih suka
melihat serban Sultan daripada melihat topi latin (Katholik)kerana pihak
Katholik Barat telah menindas pihak Orthodoks. Sultan juga mengarahkan
supaya gereja dan sinagog tidak dimusnahkan atau diapa-apakan.
2-Pengembangan Kerajaan dan Pembangunan
Sultan al-Fateh dikurniakan kejayaan yang besar dalam menyempurnakan
penyusunan negara, kekemasan jentera pentadbiran dan membuat ikatan
teguh di antara kawasan yang tunduk di bawah pebguasaannya serta
menundukkan Serbia, Bosnia, kawasan pantai Laut Merah dan semenanjung
Crimea. Baginda telah meluaskan sempadan Negara dari hanya sekiar 600 km
persegi kepada keluasa 2,214,000 km persegi. matlamat Baginda dari
perluasan negaranya adalah untuk menembusi Eropah dan menyelamatkan umat
Islam di Andalus daripada cengkaman Kristian.
3-Perkembangan Tamadun
Bentuk peradaban telah berubah dengan pembukaan Islam tersebut kerana
banyak masjid, sekolah dan hospital yang telah dibina. Baginda amat
mengambil berat terhadap pelajaran dan pendidikan. Baginda juga telah
menyusun pentadbiran, ketenteraan, politik dan pembangunan.
Sutan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 1471M (886H) ketika
sedang berada di kemuncak kemenangan dan kemuliaan. Ada pendapat
mengatakan bahawa kematian Baginda adalah kerana diracun melalui
perantaraan doktornya yang menyembunyikan identitinya sebagai seorang
Yahudi.
Wahai anak muda ! Mari bersama kita teladani ikon kita….Sultan Muhammad al-Fateh !
Rujukan dan Penghargaan
- Dr Eaman Mohammad Abbas – Sultan Abd al Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah. Pustaka Salam Kuala Lumpur 2007
- Sheikh Muhhammad Sa’id Mursi – Tokoh=tokoh Besar Islam Sepanjang Sejarah. Pustaka al Kauthar Jakarta 2007
- Dr Ali Muhammad as Salabi – Biography of Muhammad al-Fateh. Maktaba as Sahaba
- Mohd Fauzi Asmuni – Sultan Muhammad al-Fateh dan Pembukaan Constantinople. satuperkongsian.wordpress.com
- Hasrizal Abdul jamil – Sultan Mummad al-Fatih dan Pembukaan Istanbul – 2007. komuniti.iluvislam.com